Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Seri Begawan

Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Seri Begawan

Aspek-Aspek dalam Bahasa Melayu

Thursday, May 22, 2008

Teknik atau Tips sebelum menjawab soalan memodenkan

Soalan Memodenkan (dari peperiksaan setengah tahun yang
lepas):

Dengan
tiada berapa lamanya sampailah mereka itu ke Negeri Daha itu. Maka Raden Inu
segan masuk lalu menanti di luar istana. Maka disuruhnya Jerude dan Kartala
masuk bersama-sama dengan Mahadewi akan menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha
itu.

Maka
tatkala dilihat oleh Sang Ratu akan Mahadewi datang dengan balut matanya,
sungguhpun selama ia pergi tiada dikenangnya, akan tetapi pada masa bertemu itu
timbullah belas dan kasihan di dalam hatinya serta teringatlah ia pada isterinya
yang sudah meninggal diracuni itu. Lagi pula baharulah ia tersedar akan dirinya
dan baharulah diketahuinya akan segala kejahatan Paduka Liku itu kerana pada
masa itu rupa-rupanya segala hikmat dan ubat-ubatan Paduka Liku itu telah hilang
kemanjurannya.

(15 Markah)


Para pelajar selalunya mengatakan sukar untuk menjawab soalan memodenkan walaupun kamu belum melihat petikan prosa klasik tersebut. Persepsi atau konsep ini boleh mengganggu dan menghalang kamu dari menjawab soalan memodenkan semasa peperiksaan mahupun semasa latihan dalam bilik darjah.

Berikut ialah di antara beberapa cadangan yang boleh kamu lakukan sebelum menjawab soalan memodenkan :

1. Senaraikan dulu watak-watak yang ada dalam petikan prosa klasik tersebut. Pastikan kamu berjaya mengenal pasti beberapa watak yang mempunyai persamaan agar pemilihan kata ganti nama kamu tepat dan sesuai.

Contoh (dari soalan memodenkan peperiksaan setengah tahun):
a. Watak-watak :
- Raden Inu / Baginda (-nya).
- Jerude.
- Kartala.
- Mahadewi / Puteri Baginda (ia).
- Kebawah Duli Sang Ratu Daha / Sang Ratu.
- Permaisuri baginda (isterinya).
- Paduka Liku.

2. Nyatakan latar tempat, iaitu tempat prosa klasik itu diceritakan.
- Dalam istana.
- Luar istana.

3. Nyatakan pokok persoalan yang ada dalam petikan tersebut.
- Raden Inu datang ke istana untuk menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha.
- Mahadewi pulang dalam keadaan bengkak di bahagian matanya.
- Baginda teringat akan permaisurinya yang telah mangkat.

4. Barulah kamu membuangkan perkataan-perkataan yang tidak diperlukan seperti maka, arakian, syahadan, -la, -pun dan perkataan-perkataan klasik yang lain.

5. Jika kamu mengetahui maksud perkataan klasik yang ada dalam petikan tersebut, kamu perlu tukarkan menjadi bahasa moden. Ini penting kerana jika kamu mengekalkan perkataan klasik tersebut markah kamu akan dipotong sedikit sebab tidak mengikut arahan soalan iait menukarkan petikan klasik menjadi bahasa Melayu moden.

Contoh :
a. balut matanya - bengkak di matanya.
b. hilang kemanjurannya - hilang kesannya.
c. berkhalwat - bersendirian di suatu tempat.

* Oleh itu kamu perlu mencatat perkataan-perkataan klasik yang baru kamu dapat dalam kamus persendirian kamu. Ini membolehkan kamu terbiasa apabila melihat perkataan-perkataan klasik tersebut.

Terima Kasih kepada pelajar yang bertanya. Cikgu harap ia dapat memberikan manfaat kepada semua pelajar-pelajar cikgu dan cikgu harap kamu manfaatkan ilmu yang cikgu terangkan di internet ini dengan sebaiknya.

Sekian.

Tuesday, May 20, 2008

Ulasan Karangan Bahagian Kedua

Salam lagi sekali kepada pelajar-pelajar cikgu.. Di sini cikgu ingin menambah ulasan cikgu mengenai ulasan hasil karangan kamu yang telah kamu buat semasa peperiksaan pertengahan tahun yang sedang berlangsung.

Bagi yang menjawab soalan 4 :
- Terdapat pelajar yang tidak menyatakan format ceramah yang perlu dibuat dalam karangan kamu. Apabila format ini tidak digunakan dalam karangan, MARKAH TEKNIK KAMU TERPAKSA DIBERIKAN 6 MARKAH SAHAJA (Sebagaimana yang telah ditetapkan dalam skim pemarkahan peperiksaan O level yang sebenar). Manakala, beberapa orang pelajar juga telah didapati tidak mengekalkan format karangan tersebut seperti sidang hadirin yang dihormati sekalian, persoalan-persoalan yang menggunakan tanda tanya dan sebagainya.

- Selain itu, cikgu dapati juga terdapat para pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris dalam bahagian ini. Ini boleh mengurangkan markah kamu sedikit demi sedikit. Semakin banyak kesalahan yang dibuat, semakin banyak juga potongan markah dibuat.

Bagi yang menjawab soalan 6:
- Format tidak disertakan selengkapnya. Ada yang menyatakan tajuk berita tersebut (bagus) tetapi tidak menyatakan dilaporkan oleh siapa. Apabila ada kekurangan format (tidak meninggalkan format sama sekali) markah yang diberikan terhadap teknik sudah ditetapkan, iaitu 9/20. Sayang sekali bukan? hanya dengan tidak menyatakan format, markah yang diberikan terlalu drastik menurun.

- Selain itu, karangan berita ini tidak kamu tulis secara formal. Seolah-olah seperti karangan berbentuk menceritakan kembali peristiwa lalu. Maksud cikgu di sini, tahap penerangan yang digunakan dalam karangan tersebut agak rendah jika dibandingkan dengan penghuraian karangan berita yang sebenar. Namun, keseluruhannya cikgu tertarik dengan isi karangan berita yang kamu hasilkan.

Ulasan bagi karangan soalan 1 dan soalan 5 akan menyusul kemudian. Akhir kata dari cikgu, semoga berjaya menjawab dengan cemerlang dalam kertas Bahasa Melayu 2 esok, iaitu 21hb Mei, 2008 @ Selepas Rehat. :)

Sunday, May 18, 2008

Ulasan Karangan Bagi Para Pelajar Menjawab Soalan 2 dan 3

Salam kepada pelajar-pelajar cikgu semua.. Cikgu harap para pelajar melaksanakan ulang kaji dengan sebaiknya agar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan setengah tahun yang sedang berlangsung kini. Ulasan yang hendak cikgu sampaikan di sini ialah berkenaan dengan hasil karangan kamu (setelah disemak) bagi soalan 2 dan soalan 3.

Ulasan soalan 2:
- Terdapat para pelajar tidak memahami kehendak soalan, iaitu punca remaja lari dari rumah dan cara-cara mengatasi masalah tersebut. Terdapat para pelajar menghuraikan tentang masalah sosial di kalangan remaja. Para pelajar agak terikat dengan soalan karangan yang pernah kamu buat sewaktu latihan karangan di sekolah.

- Selain itu, untuk pengetahuan pelajar, maksud 'lari dari rumah' dan 'berlari dari rumah' membawa maksud yang sangat berbeza. Cikgu tahu punca perkara ini berlaku iaitu kamu menterjemah 100% dari bahasa Inggeris menjadi bahasa Melayu. Istilah 'Running away from home' jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu membawa maksud melarikan diri dari rumah. Ingat tu. Cikgu sudah mengatakan kalau kamu menggunakan teknik terjemahan dalam karangan kamu, pastikan kamu kekalkan maksud asal. Cikgu berulang kali memberikan contoh 'Red Car' diterjemah menjadi Kereta merah dan bukannya Merah kereta.

- Lagi satu perkara yang cikgu dapati daripada guru kamu, penyusunan isi kamu tidak teratur, kalau boleh gunakan satu perenggan bagi satu isi, iaitu yang dilengkapi dengan penyataan isi, penghuraian isi, contoh, akibat serta perkaitan dengan tajuk soalan. Itu lebih memudahkan pemeriksa untuk mengenal pasti isi-isi yang kamu terangkan dalam karangan kamu.

Ulasan soalan 3:
- Para pelajar yang memilih soalan mengulas novel ini keliru atau mungkin tidak faham dengan kehendak soalan yang dinyatakan. Soalan meminta kamu untuk mengetengahkan novel yang pernah kamu baca beserta ULASAN IAITU KRITIKAN, PANDANGAN KAMU terhadap novel tersebut. Banyak aspek yang boleh kamu ketengahkan, iaitu pengajaran yang boleh didapati melalui novel tersebut, nilai-nilai murninya, perkara-perkara yang boleh menjadi ikutan pembaca, kesesuaian temanya dan sebagainya. Namun, pelajar cikgu lebih cenderong menulis sinopsis novel yang dibacanya sahaja tanpa menyatakan ulasan tersebut.

- Selain itu, terdapat juga para pelajar tidak memberikan pendahuluan karangan dengan mengenalkan latar belakang buku novel tersebut. Ada yang terus menghuraikan sinopsis novel yang dibaca tanpa muqadimah atau kata-kata permulaan sebelum memulakan sesebuah karangan.

Ulasan bagi hasil jawapan karangan kamu yang lain akan menyusul kemudian. *InsyaAllah* akhir kata dari cikgu, teruskan usaha kamu terhadap kertas Bahasa Melayu II. Jangan mengambil ringan kertas tersebut. Cikgu harap kertas Bahasa Melayu II boleh menolong markah kamu untuk menyokong markah kertas Bahasa Melayu I kamu.

Akhir kata dari cikgu, Selamat maju jaya dalam peperiksaan ini. Jadikan diri cikgu berbangga kerana mempunyai pelajar seperti kamu. Sekian.

Thursday, May 15, 2008

Pertandingan Bahas Peringkat Akhir Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam Menengah 4B

Alhamdulillah.. syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya cikgu dapat menyempurnakan aktiviti pertandingan bahas di sekolah menengah SMJA menengah 4B pada hari rabu yang lepas, iaitu pada 14hb Mei 2008. Cikgu berpuas hati dengan usaha dan komitmen yang telah kamu tunjukkan walaupun terdapat beberapa kekurangan yang cikgu rasa boleh lagi diperbaiki bagi aktiviti-aktiviti bahasa Melayu yang akan datang (Jika ada teow~). Selain itu juga, cikgu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada guru-guru dari Jabatan Bahasa Melayu yang berkesudian untuk menjadi barisan panel hakim sepanjang pertandingan ini diadakan. Tidak juga dilupakan ucapan terima kasih kepada pelajar-pelajar (selain menengah 4B) yang berkesudian untuk meluangkan waktu lapang mereka pada sebelah petang untuk menyaksikan pertandingan tersebut. Cikgu harap jangan diambil negatif terhadap aktiviti yang telah cikgu anjurkan ini kerana mungkin pada masa sekarang kamu berasa ia seperti suatu bebanan kepada kamu tetapi sebenarnya ia amat membantu kamu pada masa akan datang. Cikgu akhiri kata-kata cikgu hari ini dengan melampirkan beberapa gambar semasa pertandingan tersebut dan serangkap pantun.


Barisan pihak pencadang peringkat akhir (Dari kiri : Nabilah, Qawie dan Aisamuddin)


Barisan pihak penyanggah peringkat akhir (Dari kiri : Amalina, Wadiah dan Sook Yee - Simpanan Chai)


Guru Bahasa Melayu @ Hakim pertandingan bahas peringkat akhir. (Dari kiri : Cikgu Norizah (Ketua Hakim), Cikgu Rohana dan Cikgu Rosminah (Ketua Jabatan Bahasa Melayu)


Di antara pelajar-pelajar yang hadir untuk menyaksikan pertandingan bahas peringkat akhir tersebut *Terima Kasih*


Di antara pelajar-pelajar yang hadir untuk menyaksikan pertandingan bahas peringkat akhir tersebut *Terima Kasih* (Gosh~ kenapa Faiz tidur pulang atu aste~ manis jua~)

Pergi ke sekolah menaiki bas,
Singgah sebentar membeli bunga,
Kerana ilmu kita berbahas,
Untuk kemajuan tunas bangsa.

Terima Kasih 4B dan 4C



Mula-mula sekali cikgu meminta maaf sebab kurang mengemaskinikan laman web cikgu ini, beberapa hari ini cikgu agak sibuk. Cikgu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pelajar cikgu yang dikasihi kerana telah membuat majlis perpisahan untuk cikgu dan guru-guru yang lain. Terima kasih juga atas makanan yang enak, serta komitmen yang diberikan oleh setiap pelajar walaupun lebih banyak yang makan daripada yang mengemas :p *hahaha* berikut cikgu sertakan beberapa gambar yang telah diambil sewaktu majlis perpisahan cikgu bersama menengah 4B @ keluarga Gosh!! (Gambar-gambar sewaktu majlis perpisahan dengan menengah 4C tidak dapat cikgu sertakan di sini memandangkan terdapat sebilangan para pelajar tidak mahu gambar mereka cikgu tempatkan di laman web cikgu ini).


Selamat Hari Jadi Kepada Qawie, Nabilah dan Farah *winkz* tidak perlu hadiah lah ye.. dah besar tau wawawa


Terima kasih cikgu-cikgu yang sudi hadir memeriahkan majlis ini


*Ngap ngap* *nyum nyum* *burpz.. alhamdulillah* *Eh lupa baca bismillah aste~*




Bergambar ramai untuk kenang-kenangan (yang baju hitam itu hensem kan? :D)

Monday, May 12, 2008

Bagaimana mengenal pasti keterangan dalam ayat aktif dan ayat pasif

Kepada para pelajar cikgu sekalian, di sini cikgu akan menerangkan tentang bagaimana hendak mengenal pasti keterangan dalam ayat aktif dan ayat pasif. Mula-mula sekali kamu perlu mengenal pasti perkara-perkara berikut, iaitu :
1. Subjek.
2. Kata kerja aktif (bagi ayat aktif)
3. kata kerja pasif (bagi ayat pasif)
4. Objek yang dikenakan perbuatan ke atasnya.

Selain daripada ke empat-empat perkara di atas, itulah yang dinamakan sebagai keterangan. TETAPI INGAT, perkara yang berkaitan dengan objek bukan keterangan.

Sebagai contoh :
Kami menyaksikan perlawanan Manchester United dengan Brunei Darussalam di Stadium Old Trafford semalam.

Kami (Subjek - kata ganti diri pertama)
menyaksikan (Kata kerja aktif)
perlawanan Manchester United dengan Brunei Darussalam (objek iaitu yang kamu kenakan perbuatan ke atasnya iaitu menyaksikan)
di Stadium Old Trafford semalam. (Keterangan - iaitu di mana dan bila)

Oleh sebab itu ayat pasifnya ialah ;
Perlawanan Manchester United dengan Brunei Darussalam (Pendepanan objek) kami (subjek yang diletakkan di hadapan kata kerja pasif) saksikan (pengguguran imbuhan awal tetapi dikekalkan imbuhan akhir) di Stadium Old Trafford semalam (Keterangan yang dikekalkan).

Jadi ayat tersebut ditulis seperti berikut :
Perlawanan Manchester United dengan Brunei Darussalam kami saksikan di Stadium Old Trafford semalam.

Tapi ayat berikut berlainan pula keterangannya disebabkan oleh keterangan yang terikat dengan objek yang mesti dikekalkan.

Contoh :
Dia memulangkan buku yang dipinjamnya dari Perpustakaan sekolah.

ayat yang cikgu gariskan di atas mesti dikekalkan kerana hubungan objek dengan keterangan tersebut begitu kuat dan terikat. Ia tidak boleh dipisahkan sama sekali kerana apabila dipisahkan ia boleh memberikan maksud yang berbeza dari ayat aktif yang asal.

Oleh sebab itu, cara penulisan ayat pasifnya ialah :
Buku yang dipinjamnya dari Perpustakaan sekolah dipulangkan olehnya / atau dipulangkannya.

Jika ada bahagian kamu tidak faham, jangan malu untuk bertanya kepada cikgu.

p/s : cikgu masih lagi menunggu pelajar-pelajar dari menengah 4C untuk mengisi ruang bertanya dan mari bercerita yang cikgu sediakan.

Saturday, May 10, 2008

Format Peperiksaan Setengah Tahun Bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu

Bagi peperiksaan setengah tahun yang akan bermula pada minggu hadapan, format yang digunakan agak berbeza dengan format ujian bulanan yang lalu. Kertas Bahasa Melayu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Kertas Bahasa Melayu 1 dan Kertas Bahasa Melayu 2.

Bahasa Melayu 1 (1 jam 30 minit) :
Kertas ini meminta kamu menulis sebuah karangan. Jumlah perkataan kamu bagi peperiksaan karangan ini adalah tidak boleh kurang dari 350 patah perkataan dan tidak lebih daripada 600 patah perkataan. Jika karangan kamu kurang atau lebih dari jumlah perkataan tersebut, markah akan dipotong mengikut skim penilaian peperiksaan O Level yang sebenar.

Kertas Bahasa Melayu 1 ini mengandungi 6 soalan pilihan. Kamu diminta untuk memilih satu sahaja daripada kesemua soalan tersebut. Kamu dinasihatkan untuk berfikir panjang agar karangan yang kamu tulis nanti tidak terhenti di pertengahan jalan disebabkan oleh ketandusan idea. Namun, kesemua 6 soalan karangan tersebut sudah kamu pelajari dari pengajaran karangan yang lalu.

Berikut ialah format pemarkahan kertas Bahasa Melayu 1:
Isi = 45 Markah.
Bahasa = 35 Markah.
Teknik = 20 Markah.
(Jumlah Markah Penuh Bagi Kertas 1 ialah 100%)


Bahasa Melayu 2 (1jam 30 minit) :
Kertas ini lebih fokus kepada aspek-aspek yang lain selain karangan. Kertas ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian A dan bahagian B.

Bahagian A WAJIB DIJAWAB dan bahagian A tersebut adalah 'Ringkasan'.

Bahagian B mengandungi 3 soalan, dan kamu dikehendaki untuk menjawab 2 soalan daripada 3 soalan. Di antara aspek yang disoalkan dalam bahagian B ini ialah :
- Kefahaman.
- Membina ayat.
- Ayat Biasa dan Ayat Songsang.
- Ayat Tunggal dan Ayat Majmuk.
- Perambahan Brunei.
- Memodenkan.
- Puisi.
- Cakap Ajuk dan Cakap Pindah.
(Kesemua sudah cikgu ajarkan kepada kamu)

Bahagian B ini mempunyai soalan yang bercampur-aduk, sebagai contoh soalan 3 mengandungi soalan tentang memodenkan, bina ayat dan cakap ajuk cakap pindah. Jadi, jangan hanya memfokuskan pada beberapa aspek sahaja. Ini membolehkan kamu keciciran markah jika kamu berbuat demikian.

Kamu dinasihatkan untuk meluangkan masa selama 25 minit bagi setiap soalan. Jika sekiranya waktu yang kamu peruntukkan tamat, tinggalkan dulu jawapan tersebut dan jawab soalan yang lain pula dan jika ada masa yang lebih kembali semula ke soalan yang kamu belum selesai jawab tadi. Yang penting ialah kertas dua ini menguji sejauh mana kamu bijak menggunakan masa yang diberikan bagi menyelesaikan keseluruhan soalan kertas 2.

Skim pemarkahan bagi kertas Bahasa Melayu 2 akan menyusul kemudian.

Friday, May 9, 2008

Kepada para pelajar yang hendak bertanya

Bagi yang ingin bertanya soalan melalui laman web ini, sukacita cikgu ingin terangkan tentang arahan dan peraturan yang perlu kamu ikuti sebelum bertanyakan soalan kepada cikgu. Berikut adalah peraturan bagi memudahkan cikgu mengenal pasti pelajar yang menyoal :

1. Para pelajar yang berkeinginan untuk menyoal perlu menggunakan nama sebenar beserta penyataan kelas kamu sekali. Sebagai contoh, Khairul (4A). Ini memudahkan cikgu untuk mengenal pasti siapa pelajar sebenar yang bertanya. Penggunaan nama lain seperti nama samaran atau 'nick name' tidak akan cikgu layan.

2. Apabila menyoal, gunakan bahasa Melayu yang gramatis dan formal. Jangan gunakan bahasa Inggeris atau dialek sewaktu mengemukakan soalan. Ini boleh membiasakan kamu untuk bertanya dalam bentuk soalan formal. Selain untuk tujuan penyoalan, terserah kepada kamu.

3. Segala persoalan yang ditanyakan, InsyaAllah akan cikgu jawab melalui penulisan seperti ini.

~* Masih ada 5 hari lagi menjelang peperiksaan setengah tahun *~

Harap Maklum

Thursday, May 8, 2008

Assalamualaikum.. Pengenalan Awal

Salam buat pelajar-pelajar menengah empat Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam.. laman web ini cikgu cipta bagi memudahkan para pelajar untuk bertanya tentang apa saja kemusykilan atau masalah yang tidak sempat dipersoalkan sewaktu di sekolah iaitu soalan-soalan yang berkaitan dengan mata pelajaran yang cikgu ajar, iaitu Bahasa Melayu. Di antara sebab lain pula ialah berkemungkinan besar waktu cikgu bersama kamu di sekolah agak terhad. Oleh sebab itu, bagi memudahkan dan menggalakkan kamu untuk bertanya dan membina sikap berbincang secara positif cikgu sediakan laman web ini.. Cikgu harap kamu manfaatkan peluang ini sebaik-baiknya kerana kamu boleh berkomunikasi dengan saya walaupun cikgu tidak mengajar di SM SMJA suatu hari nanti...

Sekian