Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Seri Begawan

Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Seri Begawan

Aspek-Aspek dalam Bahasa Melayu

Sunday, May 18, 2008

Ulasan Karangan Bagi Para Pelajar Menjawab Soalan 2 dan 3

Salam kepada pelajar-pelajar cikgu semua.. Cikgu harap para pelajar melaksanakan ulang kaji dengan sebaiknya agar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan setengah tahun yang sedang berlangsung kini. Ulasan yang hendak cikgu sampaikan di sini ialah berkenaan dengan hasil karangan kamu (setelah disemak) bagi soalan 2 dan soalan 3.

Ulasan soalan 2:
- Terdapat para pelajar tidak memahami kehendak soalan, iaitu punca remaja lari dari rumah dan cara-cara mengatasi masalah tersebut. Terdapat para pelajar menghuraikan tentang masalah sosial di kalangan remaja. Para pelajar agak terikat dengan soalan karangan yang pernah kamu buat sewaktu latihan karangan di sekolah.

- Selain itu, untuk pengetahuan pelajar, maksud 'lari dari rumah' dan 'berlari dari rumah' membawa maksud yang sangat berbeza. Cikgu tahu punca perkara ini berlaku iaitu kamu menterjemah 100% dari bahasa Inggeris menjadi bahasa Melayu. Istilah 'Running away from home' jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu membawa maksud melarikan diri dari rumah. Ingat tu. Cikgu sudah mengatakan kalau kamu menggunakan teknik terjemahan dalam karangan kamu, pastikan kamu kekalkan maksud asal. Cikgu berulang kali memberikan contoh 'Red Car' diterjemah menjadi Kereta merah dan bukannya Merah kereta.

- Lagi satu perkara yang cikgu dapati daripada guru kamu, penyusunan isi kamu tidak teratur, kalau boleh gunakan satu perenggan bagi satu isi, iaitu yang dilengkapi dengan penyataan isi, penghuraian isi, contoh, akibat serta perkaitan dengan tajuk soalan. Itu lebih memudahkan pemeriksa untuk mengenal pasti isi-isi yang kamu terangkan dalam karangan kamu.

Ulasan soalan 3:
- Para pelajar yang memilih soalan mengulas novel ini keliru atau mungkin tidak faham dengan kehendak soalan yang dinyatakan. Soalan meminta kamu untuk mengetengahkan novel yang pernah kamu baca beserta ULASAN IAITU KRITIKAN, PANDANGAN KAMU terhadap novel tersebut. Banyak aspek yang boleh kamu ketengahkan, iaitu pengajaran yang boleh didapati melalui novel tersebut, nilai-nilai murninya, perkara-perkara yang boleh menjadi ikutan pembaca, kesesuaian temanya dan sebagainya. Namun, pelajar cikgu lebih cenderong menulis sinopsis novel yang dibacanya sahaja tanpa menyatakan ulasan tersebut.

- Selain itu, terdapat juga para pelajar tidak memberikan pendahuluan karangan dengan mengenalkan latar belakang buku novel tersebut. Ada yang terus menghuraikan sinopsis novel yang dibaca tanpa muqadimah atau kata-kata permulaan sebelum memulakan sesebuah karangan.

Ulasan bagi hasil jawapan karangan kamu yang lain akan menyusul kemudian. *InsyaAllah* akhir kata dari cikgu, teruskan usaha kamu terhadap kertas Bahasa Melayu II. Jangan mengambil ringan kertas tersebut. Cikgu harap kertas Bahasa Melayu II boleh menolong markah kamu untuk menyokong markah kertas Bahasa Melayu I kamu.

Akhir kata dari cikgu, Selamat maju jaya dalam peperiksaan ini. Jadikan diri cikgu berbangga kerana mempunyai pelajar seperti kamu. Sekian.

No comments: